Thursday, July 4, 2013

Puasa


Puasa
Puasa ialah menahan diri dari makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Hukum Puasa
Puasa merupakan kewajipan kepada setiap orang islam berdasarkan kepada Al-Quran , Hadis, Ijmak ulamak dan Qias. Sebagaimana Firman Allah Taala yang berbunyi :
 
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
 
Maksudnya  : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
 
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 183]
 
Dan berdasarkan kepada firman Allah Taala :
 
فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
 
Maksudnya : Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu.
 
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 185]
 
 
Di dalam hadis pula disebut , Islam itu terbina di atas lima perkara dan salah satu daripadanya ialah puasa pada bulan Ramadhan . Oleh sebab itu telah bersepakat Ulamak mengatakan puasa itu hukumnya wajib keatas orang islam yang sudah akil baligh ( cukup umur) dan berkuasa . Ianya tidak diwajibkan  kepada orang kafir atau orang gila atau kanak-kanak  yang belum baligh, tetapi hendaklah dilatih untuk membiasakan diri mereka dengan puasa .
Hukum puasa terbahagi kepada tiga iaitu :
  • Wajib – Puasa pada bulan Ramadhan.
  • Sunat – Puasa pada hari-hari tertentu.
  • Haram – Puasa pada hari-hari yang dilarang berpuasa.
Syarat Wajib Puasa
  • Beragama Islam
  • Baligh (telah mencapai umur dewasa)
  • Berakal
  • Berupaya untuk mengerjakannya.
  • Sihat
  • Tidak musafir
Rukun Puasa

Puasa mempunyai dua rukun asasi iaitu :
  1. Niat puasa.
  2. Menahan diri daripada perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari.

1. Niat
Iaitu kehendak (qasad) melakukan puasa. Tempatnya di hati, tidak cukup dengan hanya melafazkannya dengan lidah dan tidak disyaratkan melafazkannya. Dalil wajib niat ialah sabda Nabi SAW :
إنما الأعمال بالنيات
Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat“.
Niat Puasa Ramadhan
Sekiranya ia adalah niat untuk puasa ramadhan, disyaratkan wujudnya perkara-perkara berikut :
i. Berniat pada waktu malam
Iaitu hendaklah dilakukan qasad (kehendak melakukan puasa) itu pada waktu malam, iaitu sebelum terbit fajar. Sekiranya dia tidak berqasad untuk melakukan puasa kecuali selepas terbitnya fajar maka batallah niat puasanya.
Dalilnya sabda Nabi SAW :
من لم يبيت الصيام قبل طلوع الفجر فلا صيام له
Barangsiapa tidak berniat puasa sebelum fajar maka tidak ada puasa baginya“. (Ad-Daruqutni (2/172), kata beliau ; Para perawinya adalah tsiqah; Al-Baihaqi (4/202)).
ii. Penentuan
Ini dilakukan dengan menetapkan jenis puasa. Dia hendaklah berazam dalam hatinya untuk berpuasa bulan Ramadhan pada esok hari. Sekiranya dia berniat dalam dirinya dengan semata-mata berpuasa (tidak ditentukan jenis puasa), maka niatnya tidak sah. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya amalan itu dengan niat“. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini : “Dan bagi setiap orang itu apa yang telah diniatkannya”. Maksudnya : perbuatannya itu akan mengikut jenis yang telah diqasadkan untuk dilakukan.
iii. Berulang-ulang
Maksudnya dia hendaklah berniat pada setiap malam sebelum terbit fajar untuk puasa hari berikutnya. Tidak cukup dengan satu niat untuk puasa sebulan kerana puasa Ramadhan bukanlah ibadah yang satu. Bahkan ia adalah ibadat yang berulang-ulang dan setiap ibadat itu mesti dikhususkan niatnya yang tersendiri.
Mengenai Puasa sunat, niat tidak disyaratkan pada waktu malam dan tidak perlu ditentukan. Niat, sah dilakukan sebelum tergelincir matahari dan sah juga niat mutlak. Dalilnya ialah hadis Aisyah r.a. :
Pada suatu hari Nabi SAW bersabda padanya : “Apakah kamu mempunyai makanan tengahari?”. Jawabnya : “Tidak”. Sabda Baginda : “Kalau begitu aku berpuasa“. (Ad-Daruqutni).
2. Menahan diri daripada Perkara yang membatalkan Puasa
Perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah :
i. Makan dan Minum
Puasa terbatal sekiranya ia makan dan minum dengan sengaja walaupun makanan atau minuman itu sedikit. Sekiranya dia terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia makan ataupun minum maka puasanya tidak batal walau berapa banyak dia makan atau minum.
Dalilnya : Hadis Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulallah SAW bersabda :
من نسي وهو صائم فأكل أو شرب فليتم صومه فإنما أطعمه الله وسقاه
Barang siapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu dia makan ataupun minum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, sesungguhnya Allahlah yang telah memberinya makan dan minum“.
ii. Sampainya ‘ain (sesuatu ) kedalam al-Jauf (rongga) melalui liang terbuka
Maksud ‘ain ialah sesuatu yang dapat dilihat dengan mata. Maksud al-Jauf ialah otak, ataupun apa yang berada antara bawah halkum hingga ke perut. Maksud liang yang terbuka ialah seperti mulut, telinga, qubul, dubur, sama ada bagi lelaki dan juga wanita.
Oleh itu setitik (air) yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Setitik (air) yang masuk ke dalam mata tidak membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka.
Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa kerana lubang dubur ialah liang yang terbuka.
Suntikan pada urat tidak membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka dan begitulah seterusnya.
Semuanya ini, disyaratkan dilakukan dengan sengaja. Sekiranya perkara ini berlaku dalam keadaan lupa maka ia tidak merosakkan puasanya. Hukum ini diqiyaskan dengan makanan dan minuman.
Sekiranya lalat atau nyamuk atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa tidak terbatal kerana untuk menghindarinya adalah teramat susahز
Sekiranya dia menelan air liurnya, puasa tidak batal kerana susah untuk menghalangnya.
Sekiranya dia menelan air liurnya yang bernajis (seperti gusinya luka lalu mulutnya tidak dibersihkan sekalipun air liurnya bewarna jernih), maka batal puasanya.
Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung lalu air itu termasuk ke dalam al-Jaufnya, puasanya tidak batal, jika dia tidak melampau dalam memasukkan air sewaktu mengambil wudhuk. Sekiranya air itu masuk kedalam al-Jauf kerana dia melampau sewaktu memasukkan air, maka puasanya batal kerana ia adalah perbuatan yang dilarang sewaktu berpuasa.
Sekiranya terdapat sisa (kesan) makanan di celah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu masuk kedalam perutnya, maka puasanya tidak batal. Ini sekiranya dia tidak mampu untuk membezakannya dengan air liurnya kerana perkara ini ialah perkara yang dimaafkan dan bukan disebabkan sengaja dilakukan. Sekiranya dia mampu membezakanya, maka batallah puasanya kerana ia dilakukan dengan lalai.
Sekiranya dia dipaksa untuk makan atau minum, puasanya tidak batal kerana hukum ikhtiarnya (mempunyai pilihan) sudah gugur.
iii. Muntah dengan sengaja
Muntah dengan sengaja membatalkan puasa sekalipun orang yang berpuasa itu yakin bahawa muntahnya tidak masuk semula ke dalam al-jaufnya walaupun sedikit. Sekiranya dia muntah tanpa sengaja, puasanya tidak batal sekalipun dia tahu bahawa sebahagian daripada muntahnya telah masuk semula ke dalam al-jaufnya tanpa sengaja. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :
من زرعه قيء يعني من غلبه من غير اختيار فلا قضاء عليه من استقاء يعني طلب خروج ما في جوفه فعليه القضاء
Maksudnya: “Barangsiapa yang muntah tanpa disengajakan (sedangkan dia berpuasa) maka dia tidak perlu mengqadha’kannya dan sekiranya dia muntah dengan sengaja, maka dia hendaklah mengqadha’kan puasanya“. (Dikeluarkan oleh Abu Daud (2380),at-Tirmizi (720) dan selain keduanya).
iv. Bersetubuh dengan sengaja walaupun tanpa keluar mani
Dalilnya ialah firman Allah Taala;
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”(Al-Baqarah:187)
Maksud fajar ialah cahaya yang terbit dengan terang di ufuk langit dan dengan itu berakhirlah malam dan bermulalah siang.
Sekiranya dia bersetubuh dalam keadaan lupa maka ia tidak membatalkan puasa. Hukum ini diqiyaskan dengan makan dan minum yang terlupa.
v. Al-Istimna’.
Al-Istimna’ ialah mengeluarkan air mani dengan melakukan percumbuan dan sebagainya ataupun dengan menggunakan tangan. Sekiranya orang yang berpuasa sengaja melakukannya maka batal puasanya. Tetapi sekiranya ia berlaku diluar kawalannya, maka puasanya tidak batal. Dengan ini dimakruhkan dengan ‘Makruh Tahrim’ (makruh yang hampir kepada haram) bercium pada siang Ramadhan bagi orang yang cepat naik syahwatnya sama ada lelaki atau wanita kerana ia mendedahkannya kepada merosakkan puasa.
Mengenai orang yang tidak cepat naik syahwatnya, yang utama baginya ialah meninggalkannya demi menutup pintu yang merosakkan puasanya.
Muslim (1106) meriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah mencium aku sewaktu Baginda berpuasa. Siapakah dikalangan kamu yang dapat menguasai nafsunya sebagaimana Rasulullah s.a.w menguasai nafsunya“.
Para ulama’ berkata: “Maksud kata-kata Aisyah r.a ialah sepatutnya kamu menjauhi daripada bercium dan jangan menyangka bahawa diri kamu seperti Nabi s.a.w yang boleh melakukannya. Ini kerana Baginda dapat mampu menguasai dirinya dan dapat dijamin apabila Baginda mencium tidak menyebabkan keluarnya air mani ataupun naik syahwat ataupun naiknya nafsu dan seumpanya sedangkan kamu tidak ada jaminan terhadap perkara itu”.
vi. Haid dan Nifas
Haid dan nifas merupakan keuzuran yang menghalang sahnya puasa. Sekiranya wanita yang berpuasa keluar haid atau nifasnya pada sebahagian daripada siang maka batallah puasanya. Dia wajib mengqadha’kan puasa hari tersebut. Al-Bukhari (298) dan Muslim (80) meriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda tentang wania dan Baginda telah ditanya sebab kurangnya agama bagi wanita: Baginda menjawab: “Bukankah apabila dia sedang haid dia tidak sembahyang dan puasa?“.
vii. Gila dan murtad
Gila dan murtad merupakan penghalang daripada sahnya puasa kerana orang yang berada di dalam keadaan ini tidak mempunyai keahlian (kalayakan) untuk beribadat.
Mereka yang berpuasa wajib menjaga dirinya daripada perkara-perkara yang membatalkan ini agar puasanya sah bermula dari terbit fajar sehingga matahari betul-betul tenggelam. Sekiranya orang yang berpuasa melakukan perkara yang membatalkan ini dengan sangkaan fajar belum terbit, tetapi selepas melakukannya, sangkaannya jelas meleset, maka batal puasanya. Dia hendaklah menahan dirinya (tidak makan,minum dan lain-lain seperti orang yang berpuasa) spanjang siang sebagai menghormati bulan Ramadhan. Dia juga dikehendaki supaya mengqadha’kan puasa tadi.
Begitu juga apabila seseorang berbuka pada akhir siang di waktu petang dengan sangkaan matahari telah tenggelam kemudian terbukti bahawa matahari belum tenggelam, maka batallah puasanya dan dia wajib mengqadha’nya.


Syarat Sah Puasa
  • Beragama Islam
  • Berakal
  • Tidak dalam haid, nifas dan wiladah (melahirkan anak) bagi kaum wanita
  • Hari yang sah berpuasa.
Sunat Berpuasa
  • Bersahur walaupun sedikit makanan atau minuman
  • Melambatkan bersahur
  • Meninggalkan perkataan atau perbuatan keji
  • Segera berbuka setelah masuknya waktu berbuka
  • Mendahulukan berbuka daripada sembahyang Maghrib
  • Berbuka dengan buah tamar, jika tidak ada dengan air
  • Membaca doa berbuka puasa
Perkara Makruh Ketika Berpuasa
  • Selalu berkumur-kumur
  • Merasa makanan dengan lidah
  • Berbekam kecuali perlu
  • Mengulum sesuatu
Hal yang membatalkan Puasa
  • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh atau mengeluarkan mani dengan sengaja
  • kedatangan haid atau nifas
  • Melahirkan anak atau keguguran
  • Gila walaupun sekejap
  • Mabuk ataupun pengsan sepanjang hari
  • Murtad atau keluar daripada agama Islam
Hari yang Disunatkan Berpuasa
  • Hari Senin dan Kamis
  • Hari putih (setiap 13, 14, dan 15 hari dalam bulan Islam)
  • Hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi orang yang tidak mengerjakan haji
  • Enam hari dalam bulan Syawal
Hari yang diharamkan Berpuasa
  • Hari raya Idul Fitri (1 Syawal)
  • Hari raya Idul Adha (10 Zulhijjah)
  • Hari syak (29 Syaaban)
  • Hari Tasrik (11, 12, dan 13 Zulhijjah)


Wednesday, July 3, 2013

Tembikai



Tembikai

Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain adalah bermutu tinggi dalam perubatan. 

Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit. Jus tembikai juga memberi tenaga dan kekuatan dikalangan orang-orang tua serta memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi mereka yang baru sahaja sembuh daripada penyakit atau menjalani pembedahan. 

Penyakit artritis, gout serta keracunan uremik berlaku akibat kehadiran asid urik yang berlebihan. Jus tembikai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan menghapuskan kesan-kesan toksik dalam tubuh. Kehadiran asid yang berlebihan dalam darah dapat diatasi dengan mengamalkan pengambilan jus tembikai kerana ia dapat bertindak membantu melancarkan pengaliran darah.

Khasiat Tembikai 


Satu hari telah dihadiahkan buah tembikai Thaif kepada Rasulullah SAW .Nabi menciumnya dan bersabda: "Makanlah ini dengan gigi kamu, kerana ini adalah antara perkara yang halal di atas bumi. Jusnya adalah rahmat dari Allah dan kemanisannya dari syurga."

Rasulullah berada bersama beberapa sahabat pada suatu hari dan bersabda: "Allah merahmati orang yang memberi kita makan dengan buah tembikai ini". Kemudian bangun Sayidina Ali k.w bangun mendapatkan beberapa buah tembikai tambahan.Rasulullah SAW dan sahabat terus memakannya.

Baginda bersabda "Allah akan melimpahkan rahmat kepada orang yang memberi kita, yang memakannya sekarang dan kepada sesiapa yang memakannya dari golongan umatku dari sekarang hinggalah kepada hari kebangkitan."

Begitulah hebatnya khasiat dan kelebihan Buah tembikai. Dari segi faktanya, memakan buah tembikai sebelum makan membersihkan usus dan menghindarkan penyakit.

Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain adalah bermutu tinggi dalam perubatan. Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit.

Jus tembikai juga memberi tenaga dan kekuatan dikalangan orang-orang tua serta memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi mereka yang baru sahaja sembuh daripada penyakit atau menjalani pembedahan.

Penyakit artritis, gout serta keracunan uremik berlaku akibat kehadiran asid urik yang berlebihan. Jus tembikai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan menghapuskan kesan-kesan toksik dalam tubuh.Kehadiran asid yang berlebihan dalam darah dapat diatasi dengan mengamalkan pengambilan jus tembikai kerana ia dapat bertindak membantu melancarkan pengaliran darah.


Menurut Ibnu Abbas:
"Makanlah tembikai kerana di dalamnya ada banyak kebaikan. Ia makanan, minuman, perangsang kepada pertumbuhan gigi, sebagai pewangi, pembersih pundi-pundi kencing, menambah air tulang belakang, menghindarkan sejuk dan membersihkan kulit."

  
Kelebihan Tembikai


 
Kelebihan Buah Tembikai
  • Kaya dengan vitamin C yang baik untuk mata dan kulit
  • Sangat sesuai menjadi pencuci mulut selepas atau sebelum makan
  • Banyak mengandungi air
  • Baik untuk melawaskan sistem penghadaman makanan
  • Boleh mengelakkan sembelit
  • Membersihkan dan mewangikan mulut
  • Memutihkan gigi
Daripada Aisyah r.ha., beliau berkata:
"Rasulullah s.a.w. makan tembikai dengan kurma muda, lalu Baginda bersabda: 'Kita mengurangkan kepanasan (iaitu kurma muda) dengan sejuknya ini (iaitu tembikai). Dan sejuknya ini dengan panasnya ini."
(Riwayat Abu Daud, no. 3838