Tuesday, February 14, 2012

Sirah Rasulullah S.A.W

Assalamualaikum. Bersempena bulan Rabiul Awal yang mulia ini, bulan kelahiran rasulullah s.a.w, eloklah kita sama-sama menghayati perjalanan hidup Rasulullah, yang mungkin ramai di kalangan kita tidak begitu terdedah dengan perjalanan hidup dari sejak kelahiran baginda, hinggalah sampai wafatnya Rasulullah. Ini adalah catatan serba sedikit tentang perjalanan hidup Rasulullah, moga-m0ga kita semua boleh mengambil manfaat. InsyaAllah.


Keturunan Rasulullah


Ister-isteri Rasulullah


Putera-puteri Rasulullah

Tahun, Bulan dan Tarikh Kelahiran

Para penulis sirah Nabi Muhammad s.a.w umumnya sepakat bahawa Nabi Muhammad s.a.w lahir di Tahun Gajah (570M). Adalah pasti bahawa baginda kembali di sisi Allah pada tahun 632 M. Ketika itu usia baginda lebih kurang 62 hingga 63 tahun, bererti baginda lahir pada tahun 570 M.

Hampir semua ahli hadis dan sejarawan sepakat bahawa Nabi dilahirkan dalam bulan Rabiul Awal walaupun berbeza pendapat tentang tarikhnya. Ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sepakat bahawa baginda lahir pada hari Isnin, 12 haribulan Rabiul Awal.


Memberi nama kepada Nabi.

Hari ketujuh telah tiba. Seekor kambing di sembelih oleh Abdul Mutalib sebagai tanda syukur kepada Allah. Sejumlah orang di jemput untuk menghadirinya. Di hari perayaan yang besar itu, ia dihadiri oleh kebanyakan kaum Quraisy. Abdul Mutalib menamakannya cucunya “Muhammad” Ketika ditanya mengapa beliau menamakan Muhammad padahal nama itu jarang dipakai orang Arab, beliau menjawab, “Saya berharap dia terpuji di syurga mahupun di bumi.”

Dalam kaitan ini, Hasan bin Thabit berkata, “Sang Khalid mengambil nama RasulNya dari namaNya sendiri iaitu Mahmud (terpuji). Sementara Allah adalah Mahmud (terpuji) manakala Nabinya Muhammad (patut dipuji). Kedua-dua dari kata asal yang sama dan mengandungi makna yang sama pula.”

Pastilah ilham suci memainkan peranan dalam pemilihan nama ini kerana walaupun nama “Muhammad” dikenali di kalangan orang Arab, namun hanya segelintir orang hingga waktu itu yang di beri nama yang sama. Menurut bancian yang pasti dikumpulkan oleh para sejarawan, hanya enam belas orang yang di beri nama ini sebelum Nabi Muhammad s.a.w.

Hampir tidak perlu di katakan; semakin sedikit suatu kata yang di gunakan, semakin kecil pula peluang salah faham tentang kata ini. Kerana kitab-kitab suci telah meramalkan kedatangan Islam berikut nama dan tanda-tanda rohaniah dan jasmaniah khusus dari Nabi. Penting bahawa nama-nama itu mesti dipakai oleh sedikit orang sehingga tidak ada keraguan atas identitinya, khusus apabila sifat dan tanda- tandanya dicantumkan. Dengan ini orang yang kemunculannya telah diramalkan oleh Taurat dan Injil ini dapat di kenali dengan mudah. Al-Quranul Karim menyebut dua nama baginda. Dalam surah Ali Imran ayat (138), Muhammad ayat (2), al-Fath ayat (29) dan al-Ahzab ayat (4), baginda disebut Muhammad, sedang di dalam surah as-Shaf ayat (6), baginda di sebut Ahmad.Perbezaan ini, sebagaimana di catat sejarah, kerana ibunda Nabi sudah menamainya Ahmad sebelum datuknya menamainya Muhammad.


Masa menyusui Nabi

Nabi di susui oleh ibunya hanya selama 3 hari. Selepas itu dua wanita lain mendapat penghormatan menjadi ibu susunya iaitu:

1. Suwaibah : hamba kepada Abu Lahab. Dia menyusui Nabi selama empat bulan. Sepanjang kehidupannya, Nabi dan isterinya Khadijah sentiasa memujinya. Setelah baginda di lantik menjadi Nabi, baginda berniat untuk membelinya. Baginda mengirim seseorang menghadap Abu Lahab untuk membuat tawar-menawar, namun Abu Lahab telah menolak. Bagaimanapun Suwaibah menerima bantuan daripada Nabi sepanjang hidupnya. Sekembalinya Nabi Muhammad dari perang Khaibar, berita kematian Suwaibah sampai kepada baginda. Tanda kesedihan terlihat di wajahnya. Baginda mencari putera Suwaibah dengan tujuan memberi bantuan tetapi baginda menerima berita bahawa anak Suwaibah juga sudah meninggal lebih dahulu.

2. Halimah : puteri Abi Zawaib dari suku Sa’ad bin Hawazan. Dia mempunyai tiga orang anak: Abdullah, Anisah dan Syima’. Syima’ juga turut mengasuh Nabi.

Sudah menjadi kebiasaan keluarga bangsawan Arab menyerahkan anak-anak mereka kepada wanita penyusu. Biasanya para ibu susu itu tinggal di luar kota sehingga anak-anak susuan mereka dapat dibesarkan di kawasan gurun yang segar serta membesar dengan sihat. Selain itu anak-anak juga tidak mudah terkena penyakit seperti di kota Makkah. Mereka juga dapat belajar bahasa Arab di kawasan yang masih asli ini. Para penyusu dari suku bani Sa’ad sangat terkenal di kawasan ini. Pada waktu-waktu tertentu, mereka mengunjungi Makkah lalu masing-masing membawa pulang seorang bayi.

Empat bulan selepas kelahiran Nabi, ibu-ibu penyusu dari bani Sa’ad datang mengunjungi Makkah. Tahun itu mereka sedang mengalami kemarau yang teruk sehingga sangat memerlukan pertolongan keluarga-keluarga bangsawan.

Bayi Quraisy yang baru lahir itu tidak mahu menghisap buah dada wanita penyusu mana pun. Kebetulan Halimah datang dan anak itupun menyusu kepadanya. Abdul Mutalib bertanya kepada Halimah, “Engkau dari suku mana?” Jawabnya “ Dari suku bani Sa’ad” . Lalu Abdul Mutalib bertanyakan namanya. Abdul Mutalib sangat gembira mengetahui nama dan sukunya lalu berkata, “ Bagus… bagus.” Dua kebiasaan yang baik dan dua sifat yang mulia. Yang satu kebahagiaan dan kemakmuran, manakala yang lainnya kelembutan dan kesabaran.


Zaman Kanak-Kanak Nabi.

Sejarah meriwayatkan bahawa kehidupan Nabi penuh peristiwa ganjil, sejak masa awal kanak-kanak hingga kerasulanya. Semua mengandungi aspek kebesarannya. Keseluruhan menunjukkan bahawa kehidupan Nabi tidaklah biasa.Kini kita tampilkan dua kejadian dari sejarah hidup Nabi yang ganjil dan ajaib. Apabila kisah ini di hayati maka ini adalah untuk menyakinkan kita tentang kebesaran dan kemuliaan Nabi s.a.w.

1). Halimah berkata, “ ketika memikul tanggungjawab membesarkan bayi Aminah, saya memutuskan untuk menyusui bayi itu di situ juga di hadapan ibunya. Saya memasukkan puting payudara kiri yang berisi susu ke mulutnya, tetapi si bayi lebih suka payudara sebelah kanan. Padahal payudara kanan itu tidak ada susunya sejak kelahiran anak saya yang pertama. Kerana desakan si bayi, saya menyusuinya dengan selelah kanan yang kosong itu dan sebaik dia menghisap, payudara yang kering itupun penuh berisi susu. Kejadian itu membuat semua yang hadir kehairanan.”

2).Halimah juga mengatakan,"Sejak membawa Muhammad ke rumah, saya menjadi lebih makmur. Harta dan ternakan saya meningkat."

Kita dapati peristiwa serupa dalam Al-Quranul Karim berkaitan dengan Maryam (ibunda Nabi Isa). Ketika rasa sakit di saat melahirkan anak memaksa dia bersandar pada pangkal pohon kurma, dia berkata, "Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak berguna serta dilupakan.” Maka Jibril menyerunya dari tempat yang rendah. "Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu dan goyanglah pangkal pohon kurma ke arahmu, nescaya pohon itu menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu.”

Memang terdapat perbezaan besar antara Maryam dan Halimah dari segi kedudukan dan juga perbezaan antara kedua-dua bayi itu. Namun jika martabat dan keunggulan peribadi Maryam menjadikannya memperolehi rahmat Ilahi, maka tidak mustahil kedudukan dan darjat si bayi Muhammad di kemudian hari menjadikan ibu susunya layak mendapat kurnia Allah.

Lebih jauh kita ketahui tentang Maryam dari Al-Quran. Kesucian dan kesolehannya telah mengangkatnya sedemikian rupa sehingga setiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, dia mendapati makanan di sisi Maryam .Nabi Zakaria bertanya,”Darimana kamu memperolehi (makanan) ini? Maryam menjawab,"Makanan itu daripada Allah."

Berdasarkan ini, tidak seharusnya kita ragu akan kebenaran mukjizat Nabi, apalagi menganggapnya mustahil.


Lima Tahun di Gurun

Nabi tinggal selama lima tahun bersama suku Bani Sa’ad dan membesar dengan sihat. Sepanjang tempoh tersebut lebih kurang dua atau tiga kali Halimah membawanya menemui ibunya.

Kali pertama Halimah membawanya kepada ibunya adalah ketika masa menyusuinya selesai. Namun Halimah telah mendesak Aminah untuk mengembalikan anak itu kepadanya. Alasannya, anak itu telah menjadi sumber kurnia dan rahmat baginya. Alasan ibunya menunaikan permintaan itu adalah lantaran wabak penyakit sedang melanda Makkah waktu itu.

Kali kedua Halimah membawa Muhammad ke Makkah bertetapan dengan datangnya sekumpulan pendeta dari Ethiopia di Hijaz. Mereka melihat anak itu berada dalam kelompok suku Bani Sa’ad.

Mereka mendapati semua tanda kenabian yang akan datang sesudah Nabi Isa sebagaimana disebutkan dalam kitab-kitab suci ada pada anak itu. Oleh itu mereka memutuskan untuk menguasai anak itu walau apa cara sekalipun dan akan membawanya ke Ethiopia supaya negeri itu memperoleh kehormatan mempunyai nabi.

Sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran, tanda-tanda Nabi Muhammad telah diceritakan dalam Injil. Oleh itu sangatlah wajar apabila para pendeta pada waktu itu dapat mengenali orang yang mempunyai tanda-tanda yang lengkap. Al-Quran mengatakan dalam kaitan ini, Dan ingatlah ketika Isa anak Maryam berkata, "Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab(yang turun) sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (akan datangnya) seorang rasul sesudahku, yang namanya Ahmad(Muhammad).” Tapi tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, "Ini adalah sihir yang nyata."(Surah ash-Shaf: 6).

Terdapat ayat lain yang menunjukkan dengan jelas tanda-tanda Nabi Muhammad di dalam kitab-kitab suci, dan orang-orang terdahulu mengetahui hal itu(Lihat Surah al-A’raf: 157).

-Wallahualam.

No comments: